BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya menahan lelaki yang dipercayai menjadikan anak kandungnya sebagai pemuas nafsu sejak berusia enam tahun, dalam serbuan di sebuah kawasan di Bukit Tengah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata suspek berusia 45 tahun ditahan polis pada jam 4.45 petang tadi.

"Dia akan direman esok di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

BACA: Gadis jadi 'pemuas nafsu' bapa sejak berusia 6 tahun

Astro AWANI hari ini melaporkan, penderitaan seorang gadis berusia 18 tahun yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan liwat bapa kandung sendiri sejak 12 tahun lalu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis.

Shafee dilaporkan berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan membuat laporan dicabul bapanya itu, Selasa lepas.

Mangsa memberitahu bapa yang bekerja sebagai juruteknik telah mencabulnya ketika berada di ruang tamu rumah mereka di sebuah apartment di Bukit Mertajam.

"Bagaimanapun hasil soal siasat lanjut ke atas mangsa mendapati dia sebenarnya dipercayai telah dipaksa melakukan hubungan seks sejak berusia enam tahun malah pernah diliwat semasa berusia 15 tahun," katanya.